jet sky di sg
Peminat sukan air buka syarikat jet ski
Black Sparrow juga tawar khidmat sewa bot laju dan kapal layar
Oleh
Norhaiza Hashim KELAJUAN pantas dan hembusan angin yang dirasakan ketika menaiki jet ski di lautan luas sungguh memberikan keseronokan kepada Encik Mohamed Shafie Ibrahim. Sebagai penggemar sukan air, beliau kerap kali ke luar negara untuk bermain jet ski. Menyedari tidak terdapat permainan jet ski di Singapura, usahawan muda berusia 25 tahun itu membuka sebuah syarikat jet ski, Black Sparrow Jet Ski, di Singapura. 'Dari kecil lagi, saya memang minat dengan sukan laut seperti jet ski. Tetapi, saya lihat di Singapura tidak ada syarikat yang menawarkan sukan itu. 'Untuk bermain jet ski, kita perlu ke negara-negara jiran. Justeru, saya memulakan perniagaan ini bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada golongan belia yang mungkin berasa bosan kerana kurangnya kegiatan menarik dan mencabar yang boleh dilakukan di negara ini,' kata Encik Mohamed Shafie, yang menjalankan perniagaan jet skinya di SAF Yacht Club di Admiralty Road West sejak 18 bulan lalu. Encik Mohamed Shafie merupakan anak kedua Allahyarham Ibrahim Mohamed, pengasas perniagaan rempah-ratus popular jenama Malabar Masala. Beliau mempunyai tiga lagi adik-beradik. Selain dua jet ski, Encik Mohamed Shafie juga memiliki sebuah bot laju dan kapal layar untuk disewakan, yang dibelinya dengan harga keseluruhan hampir $200,000. Selain Encik Mohamed Shafie, tiga kaptennya mempunyai Powered Pleasure Craft Driving License (PPCDL) daripada Penguasa Kelautan dan Pelabuhan (MPA) yang membolehkan mereka menunggang jet ski serta mengemudi kapal layar dan bot laju. 'Bagi jet ski, permintaan amat baik daripada kalangan belia dan golongan ekspatriat. 'Mereka menyewa jet ski untuk tujuan yang berbeza. Selama sejam, mereka boleh merasakan keseronokan menaikinya di perairan Singapura. Jika mereka menyewa selama empat jam, mereka boleh pergi ke kawasan Changi, Pulau Ubin dan ke kelong untuk menikmati makanan laut segar,' kata Encik Mohamed Shafie. Masa terbaik menggunakan jet ski ialah antara 2 dengan 6 petang. Malah, beliau berkata ombak di kawasan perairan SAF Yacht Club tidak terlalu besar kerana dikelilingi kawasan perairan Johor - sesuai bagi mereka yang takut dengan ombak yang terlalu besar apabila bermain jet ski. Harga sewa yang dikenakan bagi jet ski ialah $95 selama sejam atau $280 bagi empat jam. Bagi bot laju dan kapal layar pula, pelanggan boleh menyewa untuk memancing dan pergi ke pulau-pulau di Singapura ataupun ke negara jiran seperti Batam, Bintan, Desaru dan Pulau Tioman. Bot laju dan kapal layar itu masingmasing boleh menampung lima dan 10 orang. Black Sparrow Jet Ski merupakan anak syarikat S.T.I. Experience, yang mempunyai dua lagi anak syarikat iaitu S.T.I. Auto yang menyediakan khidmat sewa kereta dan Xtersoft Technology yang menyediakan khidmat pembaikan komputer. Sejak membentuk perniagaan penyewaan kereta lima tahun lalu, Encik Mohamed Shafie mempunyai koleksi 12 kereta untuk disewakan - daripada kereta bajet sehinggalah kereta mewah seperti Porsche Boxster, Mercedes SLK dan BMW 520i. Menurutnya, darah peniaga yang mengalir dalam dirinya menyebabkan beliau terus berniaga setelah lulus daripada politeknik dalam bidang kejuruteraan mekatronik. 'Dari bangku sekolah, saya sudah berniaga membaiki komputer. Ia memberikan saya kebebasan dan kepuasan menjalankan perniagaan saya sendiri,' tambah usahawan muda itu. Maklumat mengenai perniagaan S.T.I. Experience boleh didapatkan di laman www.stiexperience.sg. Sesiapa yang ingin menyewa jet ski, kapal layar, bot laju ataupun kereta boleh menghubungi talian 8201-9805 atau menghantar e-mel kepada sales@stiexperience.sg.

0 Komentar:
Posting Komentar
Berlangganan Posting Komentar [Atom]
<< Beranda